Merungkai Misteri Dalam Kaabah
Biar hanya lapan minit berada dalam Kaabah tapi pengalamannya cukup mengharukan.
Tiap hati umat Islam yang menunaikan fardu haji akan terusik apabila melihat Kaabah buat kali pertama. Hati yang bagaimana kuat sekalipun akan menjadi lemah apabila 'Rumah Allah' itu dipandang. Kerap, tanpa disedari, hati menjadi amat terharu dan dengan tiba-tiba air mata membasahi pipi. Tetapi bagaimana pula agaknya perasaan kita apabila berada di dalam Kaabah? Ya, bukan dekat Kaabah, tetapi di dalam Kaabah sendiri!
Saya dan tiga rakan lain dari Singapura - Ahmad Mohd Don, Hussein Jahidin dan Sulaiman Jeem – mendapat peluang memasuki Kaabah semasa kami berada di Tanah Suci, Makkah, kerana menunaikan haji pada 8 September 1983. Kami dan rakan-rakan wartawan lain dari negara-negara Islam di seluruh dunia yang berjumlah kira-kira 150 orang, berada di tanah suci atas undangan kerajaan Arab Saudi. Kami tidak diberitahu terlebih dulu tentang rancangan untuk menyaksikan upacara mencuci Kaabah. Pagi itu, saya sendiri sedang bersiap-siap untuk bersiar-siar di sekitar Makkah setelah bersarapan, apabila diberitahu supaya jangan meninggalkan hotel. Setelah semua wartawan berkumpul, barulah kami mendapat tahu bahawa kami akan berpeluang melihat acara mencuci Kaabah.
Kami berjalan masuk mengikut pintu besar Masjidil Haram yang bernama Abdulaziz yang telah pun dikawal ketat oleh askar Saudi. Dari jauh Kaabah kelihatan 'sendirian'. Tidak ada seorang pun yang melakukan tawaf. Suasana begitu hening. Kira-kira 20 meter dari Kaabah, kelihatan askar Saudi yang berdiri rapat-rapat, membentuk satu bulatan mengelilingi Kaabah, untuk menghalang orang ramai daripada mendekati 'Rumah Allah' itu.
Melihat Kaabah yang begitu 'lengang' para undangan, termasuk kumpulan kami, para wartawan, mengambil peluang untuk bergambar dengan Kaabah. Kami juga dibenarkan bertawaf dan berkesempatan untuk mencium batu hitam, Hajar Aswad, dengan sepuas-puasnya. Malah, kami juga dapat bergambar di sebelah Hajar Aswad.
Kami juga dibenarkan bertawaf dan berkesempatan untuk mencium batu hitam, Hajar Aswad, dengan sepuas-puasnya. Malah, kami juga dapat bergambar di sebelah Hajar Aswad…" Ketika itu panas belum begitu terik kerana jam baru menunjukkan kira-kira 8.30 pagi. Sewaktu para undangan sibuk mencium Hajar Aswad secara bergilir-gilir, beberapa orang pekerja kelihatan menolak sebuah tangga, dan membawanya ke pintu Kaabah. Seorang pegawai kemudian naik tangga itu, menyingkap kain yang menutupi pintu Kaabah, dan kelihatanlah pintu yang berwarna kuning keemas-emasan itu. Pintu itu kemudian dibuka dan serentak dengan itu, ribuan jemaah yang melihat peristiwa itu dari jauh, bersuara: "Ha!" Terdengar juga, dari jauh, suara orang yang memekik: "Allahu Akbar." Di saat itu pulalah Gabenor Makkah, yang akan memimpin upacara mencuci Kaabah itu, tiba. Beliau melakukan tawaf dan kemudian naik tangga dan masuk ke dalam Kaabah. Beberapa minit kemudian beliau turun Kini tiba pula giliran para undangan untuk masuk ke dalam Kaabah!
Keadaan menjadi tidak terkawal buat seketika. Suruhan beratur tidak dipedulikan. Tiap orang kelihatan tidak lagi sabar untuk melihat bahagian dalam 'Rumah Allah' itu. Akhirnya tibalah giliran saya untuk naik. Sebaik saja kaki saya memijak anak tangga pertama, fikiran saya segera teringat kepada perbualan dengan seorang ustaz pada hari sebelumnya. Kebetulan kami bercakap tentang Kaabah. Ustaz itu berperi-peri berpesan kepada saya dan rakan-rakan yang lain supaya jangan sekali-kali mendongak ke atas apabila berada dalam Kaabah. Beliau tidak memberikan sebab-sebab tertentu. Tetapi itu sajalah pesanannya. Bagaimanapun, sebaik-baik saja kaki saya melangkah masuk ke dalam Kaabah, perkara pertama yang saya lakukan ialah mendongak ke atas untuk melihat 'apakah yang ada di atas' Kaabah itu.
Saya tidak nampak apa-apa kecuali hitam pekat. Bumbung Kaabah kelihatan keras. Ada kemungkinan kehitaman bumbung itu disebabkan cat hitam. Ada kemungkinan juga ia adalah sebahagian daripada kain Kaabah. Keadaan dalam Kaabah itu gelap. Tidak ada sebarang lampu. Satu-satunya cahaya yang menerangi bahagian dalam Kaabah itu datangnya daripada pintu Kaabah yang terbuka.
Asap kemenyan memenuhi ruang dalam Kaabah itu. Lantainya pula dibasahi air mawar yang mengeluarkan bau semerbak. Beberapa orang pekerja kelihatan sedang mengelap lantai itu. Beberapa orang yang lain pula, mengelap dindingnya.
Hampir di tiap bahagian dinding Kaabah itu, para undangan sedang menunaikan sembahyang sunnat dengan khusyuk. Mereka menghadap tiap bahagian dinding Kaabah. Tidak ada ruang yang tinggal untuk membolehkan saya bersembahyang. Jadi, kesempatan itu saya gunakan untuk terus meneliti keadaan dalam Kaabah itu. Lantai Kaabah dibuat daripada mar-mar putih. Begitu juga dindingnya. Bagaimanapun, pada satu bahagian dinding itu, kelihatan ukiran ayat-ayat suci.
Terdapat beberapa batang tiang di dalam Kaabah yang diperbuat dari batu mar-mar. Besar tiang itu kira-kira satu pemeluk. Pada satu bahagian dinding itu disalut dengan kayu yang berukiran. Mungkin ukiran ayat-ayat suci.
Terdapat juga para-para yang di atasnya diletakkan beberapa buah cerek yang kelihatan diperbuat daripada tembaga. Tidak saya ketahui apakah yang ada dalam cerek itu. Berkemungkinan besar ia berisi air mawar yang digunakan untuk mencuci bahagian dalam Kaabah.
Kemudian, tibalah giliran untuk saya menunaikan sembahyang. Perasaan yang begitu terharu membuat saya 'terlupa' diri. Tidak teringat oleh saya bahawa lantai yang saya pijak itu sedang lecak oleh air mawar dan akan membasahi hampir seluruh pakaian saya.
Selesai bersembahyang, pegawai yang bertugas cepat-cepat memerintahkan saya supaya turun, kerana ramai undangan lain yang sedang menunggu giliran untuk masuk ke dalam Kaabah itu. Perintah itu saya turut dengan rasa puas bersama kenangan abadi walaupun tempoh saya berada dalam Kaabah itu hanya kira-kira lapan minit.
"SEBAIK SAJA KAKI SAYA MEMIJAK ANAK TANGGA PERTAMA, FIKIRAN SAYA SEGERA TERINGAT KEPADA PERBUALAN DENGAN SEORANG USTAZ... USTAZ ITU BERPERI-PERI BERPESAN KEPADA SAYA DAN RAKAN-RAKAN YANG LAIN SUPAYA JANGAN SEKALI-KALI MENDONGAK KE ATAS APABILA BERADA DALAM KAABAH. BELIAU TIDAK MEMBERIKAN SEBAB-SEBAB TERTENTU. TETAPI ITU SAJALAH PESANANNYA..."
0 komentar:
Posting Komentar